Total Pageviews

Wednesday, 13 April 2011

Destinasi Pelancongan di Malaysia ( Kudat )

Dengan jarak sejauh kira-kira 200 kilometer, perjalanan dari Kota Kinabalu (dengan kelajuan biasa) akan mengambil masa kira-kira 180 minit. Tetapi jika untuk satu pemanduan santai, sambil menikmati pemandangan bumi hijau yang bertuah, sudah tentu mengambil masa lama sedikit daripada itu.

Sekadar makluman kepada pembaca yang belum pernah berkunjung ke Sabah dan Kudat khususnya, laluan ke Simpang Mengayau tidak sukar atau mengelirukan kerana terdapat banyak tanda arah disediakan.

Kita tidak akan tersesat jalan kerana sebaik memasuki daerah Kudat, kita dialu-alukan dengan papan tanda merentangi jalan utama “Selamat Datang ke The Tip Of Borneo, Tanjung Simpang Mengayau’.
                                                
                                               
                                                              Tanjung Simpang Mengayau

                            
          Papan tanda merentangi jalan raya ini memudahkan pengunjung ke Simpang Mengayau

Satu kilometer sebelum ke persimpangan jalan ke tanjung berkenaan, terdapat lagi papan tanda sebelah kiri, diikuti papan tanda kedua sejauh 500 meter dan akhirnya di persimpangan utama masuk juga terdapat papan tanda arah. Dan di setiap simpang ke lokasi turut disediakan papan tanda arah yang mudah untuk dilihat pemandu.

Perjalanan ke Simpang Mengayau tidak membosankan. Di sepanjang perjalanan dari Kota Kinabalu melewati Tuaran, Kota Belud dan Kota Marudu, kita disajikan dengan pemandangan cukup indah dan menakjubkan. Kehijauan sawah saujana mata memandang berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu (tapak warisan dunia dan merupakan satu lagi destinasi pelancongan terkemuka di Sabah) serta suasana tradisi kehidupan masyarakat pribumi Sabah dapat disaksikan dengan jelas.

Perjalanan ke Simpang Mengayau juga tidak merugikan. Ia satu pengalaman sangat berharga kerana di situlah hujung bumi Sabah dapat dipijak.

Pantai di sekitar Tanjung Simpang Mengayau



Paparan maklumat ini memudahkan pengunjung mengetahui sejarah Simpang Mengayau


Berdiri di hujung tanjung, kita dapat melihat dua lautan – Laut China Selatan di barat dan Laut Sulu di bahagian timur. Di bahagian timur jelas kelihatan Pulau Balambangan dan Karakit dan di bahagian belakangnya pula Pulau Mangsi (sebuah pulau kecil terletak di wilayah selatan Filipina).


Di penghujung tanjung ini juga merupakan laluan utama kapal dan pedagang dari timur dan barat sejak dahulu. Malahan, tidak jauh dari tanjung berkenaan diletakkan sebuah pelampung oleh pihak Muzium Sabah kerana di situ terdapat bangkai sebuah kapal dagang besar yang tenggelam beberapa dekad yang lampau.

Justeru, bagi orang Sabah sendiri, adalah satu kemestian untuk kita berpijak di Tanjung Simpang Mengayau. Ini negeri kita, maka kita harus mengenali negeri sendiri. Seperti juga Gunung Kinabalu yang menjadi kebanggaan rakyat Sabah, kita mesti menaklukinya dahulu sebelum orang luar mendahului kita, sekurang-kurangnya sekali dalam hidup.

Kini pelancong asing berpusu-pusu melawat ke Simpang Mengayau dan Gunung Kinabalu (tapak warisan dunia), maka orang Sabah sendiri tidak harus duduk berdiam diri mendengar cerita mengenainya saja. Berkunjunglah ke destinasi ini setiap kali ada peluang dan kesempatan masa supaya kita tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung.

Tanjung Simpang Mengayau terlalu istimewa. Apatah lagi dengan keindahan panorama semulajadinya, kedudukan topografinya serta cerita lagenda di sebaliknya. Ruangan kecil ini tidak cukup untuk menceritakan segalanya.

Tetapi usaha dan inisiatif mempromosikan Simpang Mengayau harus diberi pujian, khususnya kepada Kementerian Pembangunan Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah yang sebelum ini diterajui wakil rakyat Kudat sendiri, Tan Sri Chong Kah Kiat (sebelum beliau melepaskan jawatan daripada Kabinet Sabah pada 16 April 2007). Sekalung tahniah diucapkan kepadanya kerana tanpa Simpang Mengayau, mungkin tidak ramai pelancong akan bertandang ke situ sehingga hari ini.

Bagi kerajaan Sabah, sememangnya industri pelancongan menjadi keutamaan kerana ia dikenal pasti sebagai antara penjana utama ekonomi negeri.

Sabah kaya khazanah alam semulajadi yang terbentang luas – dari gunung ke lembah, dari hutan belantara hingga ke dasar laut, dan dari spesies sekecil semut sehingga haiwan sebesar Orang Utan – semuanya adalah aset daya tarikan pelancong yang menyimpan nilai komersial cukup tinggi.

Pelancongan juga merupakan satu daripada aspek yang diberi penekanan dalam Halatuju Kemajuan dan Pembangunan Negeri Sabah. Ia menjadi kerangka tindakan dan pemangkin pembangunan, yang menggerakkan sektor ini sebagai enjin pertumbuhan.

Dengan perisytiharan tahun 2007 sebagai Tahun Melawat Malaysia (TMM), maka Tanjung Simpang Mengayau turut mendapat tempias manfaatnya. Sempena TMM 2007 ini, berbagai usaha giat dilakukan untuk menarik kedatangan pelancong yang kebetulan pula bersempena dengan 50 tahun kemerdekaan negara kita.

Di peringkat negeri, adalah diharapkan agar tindakan lebih agresif dilaksanakan untuk merealisasikan matlamat menarik kira-kira 2.7 juta pelancong datang ke negeri ini sepanjang tahun ini.

Berdasarkan pemerhatian saya, Tanjung Simpang Mengayau sudah popular merata tempat hingga ke seluruh dunia. Beberapa kumpulan pelancong asing datang silih berganti pada hari itu selain deretan kenderaan konvoi pelancong tempatan.

Cuma mungkin ada beberapa perkara perlu dipertingkatkan segera. Paling penting ialah jalan raya sejauh kira-kira 10 kilometer masuk ke lokasi yang belum diturap. Ia harus diberi perhatian segera sekiranya kerajaan negeri komited untuk membangunkan industri pelancongan di utara Sabah.

Jika jalan berkenaan sudah berturap, perjalanan menjadi lancar dan sudah tentu semakin ramai pelancong berminat untuk berkunjung ke situ.

Kawasan gerai makan dan kraftangan yang ada di situ cukup bersih dan tersusun indah. Syabas dan tahniah kepada pasangan pengusaha di situ kerana mereka bukan sekadar berniaga, tetapi turut menjadi `pemandu pelancong’ dengan memberikan penerangan ringkas mengenai sejarah tempat tersebut.


Pengusaha tersebut juga sangat mesra dengan pengunjung, malahan memberikan layanan terbaik tanpa membezakan antara pelancong asing atau tempatan. Syabas dan sekalung tahniah kepada mereka, semoga rezeki terus berkembang dan tumbuh subur di Tanjung Simpang Mengayau.

Bercakap mengenai soal pelancongan, saya merasakan semua pihak bertanggungjawab untuk menentukan kemajuan industri ini terus berkembang pesat di negeri Sabah. Ia tidak terletak pada bahu kerajaan atau pemimpin semata-mata, tetapi juga rakyat pada keseluruhannya perlu mengembleng tenaga.

Dari pengamatan saya, dalam konteks negeri Sabah, banyak perkara kecil yang harus diberi keutamaan kerana perkara kecil ini mungkin membawa kesan atau impak besar jika tidak ditangani dengan sebaik-baiknya. Saya sebutkan beberapa hal kecil untuk direnung bersama.

Perrtama dan terpenting sekali, sikap para penyambut pelancong kita – mereka ini termasuk pemandu pelancong (tour guide), pemandu teksi, petugas hotel, polis pelancong, pelayan restoran/kedai makan dan peniaga gerai kraftangan serta orang ramai sendiri (yang berkemungkinan terserempak dengan pelancong ketika berjalan-jalan). Semua mereka ini perlu bersikap ramah dan mesra kerana mereka akan memberi gambaran terhadap sikap atau perangai orang Sabah sendiri di mata pelancong asing yang datang.

Kedua, soal kebersihan tempat awam – seperti tandas awam, gerai makan dan kawasan pelancongan. Semua kawasan ini perlu dipastikan berkeadaan bersih dan tidak tercemar kerana ia juga memberi gambaran negatif terhadap budaya masyarakat kita di mata pelancong asing. Dalam konteks Simpang Mengayau, saya bangga kerana aspek ini diberi perhatian dan keutamaan oleh pengusahanya.

Ketiga, masalah pengemis kakilima dan kanak-kanak jalanan. Ini bukan rahsia lagi kerana jika kita berjalan-jalan di sekitar bandar raya Kota Kinabalu sekarang ini pun, kita pasti terserampak dengan pengemis yang mundar-mandir di kaki lima dan masuk ke kedai-kedai kopi meminta sedekah, atau kanak-kanak jalanan pengilap kasut atau menjaja bermacam-macam barangan. Kedua-dua gejala ini, jika tidak diberi perhatian, sudah tentu memberi gambaran negatif kepada imej negeri kita, khususnya Kota Kinabalu sebagai pintu masuk utama ke negeri ini.



Sebahagian daripada pemandangan di Tanjung Simpang Mengayau.


Berbalik pada kunjungan ke Kudat, nyata daerah itu sudah mengamit hati dan perasaan kami untuk berkunjung lagi. Kawasan pekannya juga bersih, apatah lagi pemandangan pesisir lautnya yang dibangunkan sebagai destinasi pelancongan.

Kalau dahulu Tanjung Simpang Mengayau ditakuti kerana sinonim sebagai tempat persembunyian lanun, tetapi ia kini didekati dan dirapati saban hari lantaran keindahan semulajadi dengan sejarah yang tersendiri.

Terimakasih Tanjung Simpang Mengayau. Kami pasti akan berkunjung lagi!

No comments:

Post a Comment